Sanggar Kreatif: Bentuk dan Makna

Font: [ BB B M S ]

Khas Sastera 2012-02-05 12:40 Click: 405 Disediakan oleh Berita Harian

TENGKU Adli menyelit ke dalam dewan. Ruang bermuatan 200 tempat duduk itu hampir penuh. Mata berkelintar mencari kerusi kosong antara lajur-lajur dihuni pelajar, ahli fakulti dan khalayak awam. Amira mengetuk mikrofon di rostrum sekali, lalu mendehem kecil. Tengku Adli sempat menghenyak duduk di tengah lajur kedua dari belakang. Dia terlepas hampir suku, mujur sekadar ucapan aluan dan pengenalan, maka enggan kempunan lagi. Amira meneruskan pembentangan.

“Ada tiga ciri unggul seni bina Islam seharusnya menjadi falsafah setiap arkitek Muslim dalam melaksanakan tuntutan fardu kifayah ini. Pertama,” jari ibu dilentur ke belakang, “sesuatu seni bina Islam itu hendaklah setia atau setepatnya menghormati identiti seni bina setempat. Secara ringkas, ini bererti menara kurus panjang ala Uthmaniyyah, gerbang agam persis seni bina Parsi, dewan solat nan luas gaya Arab dan kubah besar sentuhan seni bina Mesir tidak mempunyai tempat di Malaysia.” Jeda seketika. Tengku Adli sedar Amira memberi ruang untuk khalayak menghadam butir bicara. Retina bekerja dalam pegun, menyeluruhi sesusuk gadis Melayu berkurung lengkap dan bertudung bawal dilipat segi tiga di penjuru podium. Posturnya tegak, sementara bahasa tubuhnya membiaskan aura keyakinan luar biasa. “Saya ulangi, semua pengaruh seni bina asing ini dan banyak lagi, tidak sewajarnya diangkat dalam mana juga reka bentuk masjid di Malaysia. Selaku sebuah entiti di Kepulauan Nusantara, kita tidak miskin dengan warisan seni bina yang tersendiri. Serambi, pemeleh, tiang seri, bumbung panjang, limas potong Belanda dan tebar layar misalnya, adalah antara ciri seni bina Melayu Nusantara yang seharusnya diraikan, bukannya disisihkan untuk memberi laluan kepada seni bina asing yang tidak menggambarkan pun identiti kita.”

Dewan kuliah hingar. Tengku Adli mengisar duduk. Dia sebenarnya kurang senang dengan bisikan tidak berbutir itu. Argh, tidak bolehkah disimpan komentar sehingga sesi soal jawab?

Tengku Adli tunduk membelek brosur di tangan. Kertas sekeping dilipat tiga itu sempat dicapai di meja pendaftaran di luar wijil dewan kuliah yang sudah tidak berorang. Retina memetia atur cara di halaman paling akhir. Selaku pemenang Anugerah Emas Seni Bina Negara, Amira diperuntukkan slot khusus untuk mengongsi proses kreatif dan inspirasi di sebalik lakaran pelan Masjid Nur Iman.

Masjid Nur Iman.

Nama itu bergetar di hujung lidah Tengku Adli. Sepanjang hujung minggu yang dihabiskan di desa kelahiran, telinganya pijar menadah leteran bonda, juga meladeni pelbagai pertanyaan jawatankuasa pengelola pembinaan masjid baru di tanah wakaf gemulah nenda. Inti patinya tunggal cuma – bila hendak dimulakan kerja pembinaan berdasarkan pelan Masjid Nur Iman yang sudah dihebohkan menang hadiah itu?

“Bertenang.”

Amira menggumam. Tengku Adli mengangkat muka. Dewan kuliah sunyi kembali.

“Tuan-tuan dan puan-puan pastinya mempersoalkan tentang duduk letak identiti kita sebagai penganut agama Islam. Apa gilakah arkitek sesat ini, membelakangkan agama dan lebih mengagungkan budaya?”

Majoriti khalayak mengangguk-angguk. Tengku Adli merasa pijar muka sebaik kalimah ‘arkitek sesat’ ditafsir koklea. Dia mengemam bibir.

Arkitek sesat!

Tengku Adli hampir merampas bentangan pelan bangunan, tetapi Amira lebih tangkas. Pelan bangunan itu berkeronyok apakala dipeluk erat. Mata putih Tengku Adli merah saga, tetapi pedih ditikam tenungan seorang arkitek muda.

Kamar perbincangan berdinding kaca lut cahaya sepi seketika. Tengku Adli merapatkan kedua-dua belah tangan ke ribaan. Jari-jemari digenggam, dipatah-patahkan sebelum direhatkan di atas paha. Lengan kemeja berjalur disingsing sehingga ke siku. Amira kejap memeluk tubuh setelah menggulung pelan terancam serta menjauhkannya daripada jangkauan Tengku Adli. Jam besar di dinding pastel berdetik tik, tik, tik, tatkala tiga jarum mempamerkan waktu yang telah melepasi rutin operasi firma.

Tengku Adli sedar, Amira telah banyak berkorban. Gadis itu bukan saja memenuhi permintaannya untuk berjanji temu selepas waktu pejabat kerana dia sendiri dibebat tugas di jabatan pembedahan sebuah hospital universiti, malahan pelan bangunan yang menjadi tema perjumpaan juga dilangsaikan pada waktu lapang peribadi. Malahan, dia pasti, kerja sampingan itu diterima Amira atas dasar ‘kawan-kawan’ juga sementelah mereka berasal dari desa yang sama. Justeru sebagai pelanggan tidak rasmi, sewajarnya dia tidak terlalu meminta-minta. Namun itu tidak bermakna arkitek muda itu sewenangnya dibenarkan bereksperimentasi.

Masjid Nur Iman.

Semenjak hayat gemulah masih bersisa, bukan sekali nama itu bermain di bibir tua nenda. Sebidang tanah pusaka turun-temurun keluarga bahkan diwakafkan sejak lama, dengan pesanan tanpa putus agar dibina sebuah rumah ibadat untuk manfaat seisi desa selepas pemergiannya ke alam abadi.

Nenda tidak pernah meninggalkan sebarang perincian khusus mengenai reka bentuk Masjid Nur Iman impiannya. Gemulah nenda perawakannya sangat sederhana, namun Tengku Adli berpendapat masjid itu kelak seharusnya mengabadikan reputasi nenda sebagai individu terhormat, sekali gus menjadi kebanggaan kariyah penduduk di desa kelahiran. Oleh sebab itu, dia telah menghadap Amira, teman sepermainan kini seorang arkitek memegang gelar profesional Ar di pangkal nama untuk merealisasikan aspirasi nenda dan visi seorang cucunda.

Tengku Adli membayangkan Amira akan mencadangkan sebuah struktur agam, suatu gabungan nafas seni bina Timur Tengah yang bakal mengangkat kegemilangan empayar Islam pada zaman silam. Dia juga berangan-angan untuk mengganti gelaran Masjid Nur Iman diberikan nendanya kepada nama datuk sebelah bapa itu.

Amira bukannya tidak maklum tentang semua itu. Tetapi entah mengapa, gadis itu telah membentangkan konsep seni bina yang langsung berselisih dengan visi visualnya. Tengku Adli mengawal nafas.

Orang kampung tak faham pun tentang ekspresionisme moden yang engkau anuti itu, Mimi. Berikan mereka sebuah masjid tipikal, dengan kubah, menara dan dewan solat. Titik.

Walaupun rekaannya menyalin seratus-peratus seni bina asing mengikut aliran arkitektur pascamodernisme?

Tengku Adli mengepal penumbuk. Dia ingin mengatakan sesuatu, tetapi tidak mempercayai emosi. Amira menggeleng-geleng. Kerusi pusing ditolak menjauhi meja. Dia bangun mengutip serakan kertas dan fail di atas meja persidangan.

Jangan memandang rendah kariah di desa kelahiran kita itu, kawan. Benar kita berpendidikan tinggi dan bekerja serta bermastautin di kota pula. Namun, kadang-kala kita terlalu taksub dengan dunia materi, sehingga dikaburkan pesona bentuk yang sifar pengertian makna.

Tengku Adli menjegil. Perkara pertama yang tampak di mata manusia adalah bentuk, Mimi, bukannya makna.

Amira sudah menggenggam pemegang pintu. Gulungan pelan Masjid Nur Iman yang ditolak Tengku Adli dikepit antara lengan dan siku.

Tetapi perkara pertama yang ditimbang Tuhan adalah makna, Ed.

Pembesar suara berderik. Suara halus Amira terlantun beberapa takah lebih nyaring dan tinggi. Tengku Adli terpantak, kembali ke dalam ruang dewan. Dia menujah bingkai kaca mata ke atas tulang hidung. Pandangan ditala kejap ke pentas, ke rostrum tempat seorang arkitek muda berdiri menegakkan, mempertahankan rekaan dan pendirian.

“Hadirin dan hadirat sekalian. Ajaran Islam bebas doktrin etnokrasi. Sungguhpun mula-mula diturunkan al-Quran dan hadis, tidak pernah dinyatakan larangan asimilasi setempat yang tidak berselisih dengan hukum syarak. Dalam bidang seni bina, dengan izin, saya ingin menyebut tentang Masjid Kampung Laut yang kini dipulihara di Nilam Puri, Kelantan.

Masjid ini antara masjid terawal di Malaysia dan ia berbentuk piramid berlapis tiga sebagai bumbung dan tapak segi empat sebagai asas binaan. Masjid yang dibina daripada kayu-kayan tempatan sepenuhnya tanpa sepasak paku pun ini tidak pula mempunyai kubah atau menara. Ia juga bebas sebarang dekorasi ala Hikayat Seribu Satu Malam yang sering dikelirukan sebagai satu-satunya imej Islam. Tetapi adakah sesiapa di antara kita yang berani menyelar kesahihan Masjid Kampung Laut sebagai antara ikon rumah ibadat umat Islam, bukan saja di negara ini secara khusus, tetapi juga di seluruh Kepulauan Nusantara?”

Amira berhenti lagi. Dia menyedut air putih yang disediakan urus setia di penjuru rostrum. Tengku Adli melihat gadis itu dahaga sekali. Barangkali persekitaran dewan yang kering oleh hawa pendingin elektrik menebarkan dehidrasi.

Setiap bangunan di Malaysia tidak memerlukan pendingin hawa pada suhu tetap dua puluh darjah Celcius!

Tengku Adli terlontar ke laman Masjid Negara pada suatu tengah hari tatkala matahari terik di pundak ubun-ubun kepala.

Tapi Malaysia panas!

Amira ketika itu tersenyum sangat manis sedang dia sudah basah ketiak dan tergesa ingin bersegera kembali ke kereta. Cuma Amira belum mahu berganjak.

Maka atas sebab itulah hadirnya kreativiti, Ed. Serambi atau anjung sebagai ruang terbuka di hadapan balai rumah atau bangunan dicipta untuk memanipulasi iklim Khatulistiwa. Sisir angin yang terdiri daripada susunan mencerun bilah-bilah kayu kecil diletakkan di pundak tingkap dan jendela pula memastikan pengudaraan dalaman berjalan lancar tidak kira siang atau malam tanpa sebarang bantuan alat mekanikal yang memerlukan tenaga elektrik. Di samping rekaan struktur, seni reka landskap turut dititikberatkan.

Amira berpusing ke kiri dan kanan dalam separuh bulatan. Tengku Adli menyeranahi diri kerana tidak berkeras. Argh, dengan Amira dia sering lemas dan lemah!

Pohon-pohon dan kolam hiasan yang menjadi tunjang utama laman ini estetiknya bukan sekadar bentuk.

Sebaliknya, kedua-duanya bersifat pelbagai fungsi. Pohon-pohon menyediakan nuansa yang teduh dan redup untuk keselesaan pengunjung masjid, manakala air yang memenuhi kolam memantul haba kembali ke atmosfera. Kesannya, persekitaran masjid menjadi nyaman, sekali gus menyenangkan.

Tengku Adli tersandar, memicit ruang antara dua kening. Di pentas, Amira petah meneruskan pembentangan. Namun di matanya hanya ulas bibir kecil Amira yang terbuka katup sedangkan pendengarannya semacam tuli tiba-tiba.

Mengapa engkau sebegini keras hati, Adli?

Polos pertanyaan gadis itu di hujung talian lewat panggilan memastikan bahawa dia benar-benar tidak berminat dengan lakaran mahupun konsep reka bentuk Masjid Nur Iman lebih semusim nan lalu menerobos dewan, lantas bertenggek di cupingan.

Ya, mengapa?

Mengapa dia dan Amira, dua anak desa yang besar dalam persekitaran serupa dan mempunyai jalur pendidikan yang lebih kurang sama, menjadi dua manusia yang sebegini berbeza? Bagaimana Amira, si gadis kampung yang cemerlang pengajian di luar negara itu mampu ampuh mempertahankan jati diri dalam sosok peribadi, juga lapangan kerjaya?

Tengku Adli menghela nafas, panjang dan dalam lantas menghembus sekali gus. Gemersik suara Amira dari masa lalu memalu-malu gegendangnya.

Ed, sungguhpun engkau doktor dan di tanganmu hanya nyawa seorang pesakit menjadi tanggungan setiap kali, engkau tetap seorang manusia, seorang insan. Engkau punya asal usul, engkau harus kenal dirimu, tahu dari mana engkau datang dan ke mana engkau akan pergi. Seterusnya barulah engkau tahu apa tujuan engkau dijadikan, diberikan nyawa untuk bernafas di dunia yang sementara ini.

Tengku Adli terlalu ingat, dia membungkam saja ketika itu. Dia boleh memutuskan talian jika mahu, namun entah mengapa, cecehan lirih Amira seakan lagu. Ketika itu.

Jikalau kita kenal makna diri, kita tidak akan berlaku zalim terhadap diri kita. Keadilan yang aku maksudkan di sini termasuklah meletakkan identiti dan jati diri kita di tempat yang sewajarnya. Kita tidak akan sewenang-wenangnya mengambil unsur asing biar sebagai mana mempesonakan bentuknya sekalipun, sedang warisan sendiri dipinggirkan. Itu - “…tak sedar diri namanya.”

Tawa terkawal meletus daripada segenap ruang dewan, kecuali di tempat duduk tengah, lajur kedua dari belakang. Tengku Adli merasakan tangkai jantungnya disentap kuat. Dia meraup muka yang ketara pijarnya.

Di atas pentas, di balik rostrum, Amira sudah menamatkan pembentangan. Tetapi di cupingan Tengku Adli, masih atas kesimpulan yang tertangguh; oleh masa, oleh ketibaan makna.

Hanya apabila mengenal diri, Tengku Adli, barulah kita akan mengenal Tuhan Yang Abadi.

INFO

REBECCA Ilham, nama pena bagi Hazwani Rameli.

Penasihat II Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) ini juga moderator GKLN Cawangan Amerika Syarikat.

Pernah memenangi tempat kedua Pertandingan Menulis Esei Berunsur Sejarah Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 2000.

Karyanya mendapat tempat dalam Berita Harian, Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Dewan Kosmik dan Sastera.net.

Antologinya yang sudah diterbitkan ialah GKLN ialah Jalan Jauh ke Ramallah dan Mengemis di Kota Larangan.

Kumpulan cerpen persendiriannya, Kimono Ungu Bersulam Bunga, diterbitkan oleh Ameen Books pada Mei 2010 manakala novelnya, Bumi Lestari, memenangi tempat kedua Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – Exxon Mobil 2010.

PENGARANG kreatif dipelawa menghantar cerpen bermutu dan bermoral untuk halaman Kreatif, Rona, Berita Harian serta dihantar melalui e-mel: bhsastera@nstp.com.my. Pengirim cerpen wajib menyertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar yang jelas berukuran 2 megabait menggunakan sistem JPEG. Karya tidak boleh melebihi 150 baris. Karya yang tidak terpilih tidak akan dikembalikan. Nombor akaun Maybank atau CIMB dan no kad pengenalan perlu disertakan bagi urusan pembayaran honororium jika karya disiarkan.

Share to: