Pelajar SMA Kiblah ikuti Seminar PMR

Font: [ BB B M S ]

Khas Pendidikan 2012-04-11 08:35 Click: 748 Disediakan oleh Berita Harian

ANTARA pelajar Sekolah Menengah Agama Kiblah yang menyertai Seminar PMR di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.

ANTARA pelajar Sekolah Menengah Agama Kiblah yang menyertai Seminar PMR di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.

Teknik pengajaran, penerangan guru pakar mudah difahami, mantapkan pemahaman

EMPAT puluh pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Kiblah, Dengkil, Kajang adalah antara 200 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mengikuti Seminar PMR, berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di Shah Alam, baru-baru ini. Program dua hari di dewan Kuliah Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM, turut disertai calon dari Lembah Klang dan Negeri Sembilan. Seminar PMR anjuran bersama Unit Pendidikan Berita Harian dan Pusat Tuisyen al-Hikmah, itu membincangkan enam subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Kemahiran Hidup Bersepadu.

Sebahagian calon yang pernah mengikutinya tahun lalu, berkata teknik pengajarannya begitu berkesan dan pelajar mendapat bimbingan soalan secara menyeluruh.

Siti Norsyuhada Mat Rozai dari Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11 berkata, banyak teknik baru menjawab soalan diperoleh sepanjang mengikuti program berkenaan.

Katanya, dia berpeluang memantapkan pemahaman untuk topik sukar menerusi perbincangan dengan penceramah yang terdiri daripada guru pakar setiap mata pelajaran.

Anak ketiga daripada empat beradik yang pernah menyertai Klinik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah juga anjuran Berita Harian itu berkata, dia berhasrat mengikuti program ini sekali lagi, sebelum menduduki peperiksaan Oktober depan.

Bagi pelajar Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin Sungai Bertih Klang, Nurul Sabihah Mohamad Rusman, berkata subjek Sejarah menjadi pilihannya walaupun sesetengahnya menganggap mata pelajaran itu membosankan.

Katanya, kaedah penerangan amat berkesan serta menyeronokkan dan berharap, bekalan ini membolehkannya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Bagi calon PMR di sekitar Kuala Lumpur yang tidak berkesempatan menyertai seminar berkenaan bolehlah menghubungi urus setia di talian 03-20569772/4769/4863. Seminar sama akan diadakan di Dewan Seminar Anjung Riong, New Straits Times Press, Jalan Riong, Bangsar pada 28 & 29 April ini.

Share to: