Dunia baru Wann

Font: [ BB B M S ]

Hiburan Hip 2012-10-03 01:12 Click: 1224 Disediakan oleh Berita Harian

SEJAK mendirikan rumah tangga dan menetap di Singapura, namanya seakan sepi dari dunia hiburan.

Namun, bukanlah bermakna dia menghilangkan diri atau meletak noktah terhadap kerjaya nyanyian.. Cuma tugas sebagai isteri dan ibu membataskan penyanyi Wann untuk terus aktif dalam bidang ini. Bagaimanapun, selagi darah seni terus mengalir, bidang nyanyian tidak pernah dilupakan. Sesekali bila ada peluang, pemilik nama penuh Wan Rashidah Meor Abdul Rashid, 42, pasti akan membuat kemunculan istimewa untuk menghiburkan peminat.

Saya tidaklah meninggalkan terus dunia nyanyian. Walaupun sudah berumah tangga dan menetap di Singapura, saya tetap penuhi undangan nyanyian. Namun, apabila sudah ada anak, saya perlahankan aktiviti nyanyian kerana mahu memberi sepenuh tumpuan kepada mereka.

Selepas masing-masing sudah besar, barulah saya kembali aktif. Tapi menyanyi sekarang bukanlah satu keperluan. Kalau ada peluang, saya menyanyi. Tak adalah sampai tahap seperti zaman kegemilangan saya dulu, kata Wann.

Apabila menyebut nama Wann, selain suara uniknya, perkara lain yang terlintas dalam fikiran tentulah imejnya yang seksi dan gaya manjanya.

Dalam meniti usia 42 tahun, penampilan wanita ini masih hangat seperti dulu. Ketika mengulas perkara itu, sambil ketawa Wann menganggap perkara itu sudah sebati sebati dalam dirinya.

Tapi saya rasa, saya tak seksi seperti zaman muda dulu. Mungkin disebabkan saya memang suka bergaya membuatkan penampilan saya nampak seksi.

Namun, itu tidak bermakna saya kekal dengan imej begini selama-lamanya. Sampai masanya nanti saya akan berubah perlahan-lahan, ujarnya yang suatu ketika dulu juga terkenal dengan imej bertopi.

Rencam penyanyi lama apabila dilihat kembali aktif, pasti ditanya apakah mereka tidak berminat untuk merakam lagu baru. Menjawab pertanyaan itu, penyanyi yang berasal dari Teluk Intan, Perak ini mengakui pernah ditawar membikin album baru. Cuma kata Wann, rezeki masih belum berpihak kepadanya

Tawaran yang mahukan saya merakam album memang ada, tapi rezeki belum ada. Banyak faktor yang menyebabkan saya terpaksa menolak tawaran itu.

Faktor masa dan kedudukan saya yang menetap di Singapura membuatkan saya perlu berfikir panjang sebelum membuat keputusan. Insya-Allah kalau ada rezeki saya nanti, adalah, katanya yang pernah berlakon dalam filem Pelumba Malam.

MUNGKIN ada yang terkejut apabila Wann rupanya tidak menggalakkan dua orang anaknya, Mohd Israfael, 17 dan Natasha, 15, menceburi bidang seni kerana Wann lebih selesa buah hatinya itu berjaya dalam pelajaran.

Terus terang saya tidak menggalakkan mereka menceburi bidang ini. Biarlah mereka memberi tumpuan kepada pelajaran. Cuma mereka ada belajar bermain muzik seperti piano, itu saya benarkan, katanya.

Hampir dua dekad mendirikan rumah tangga, ternyata Wann bahagia dengan kehidupannya sekarang. Baginya, tiada apa yang diharapkan, selain melihat mahligai yang dibina terus bertahan hingga akhir hayat.

Dalam kehidupan berumah tangga, perselisihan faham itu perkara biasa. Apa yang penting, ketika sedang marah, kita kena banyak bersabar sambil mengingati saat manis ketika kali pertama berkenalan. Barulah keadaan akan kembali seperti biasa, kata Wann mengenai rahsia menjaga keharmonian rumah tangga.

Wann berkahwin dengan seorang kakitangan di bahagian satelit MediaCorp di Singapura, Thazah Hamzah pada 1993.

AKSI Wann ketika menjayakan konsert R&R anjuran stesen Sinar FM di Johor Bharu, malam Sabtu lalu membuktikan dirinya masih berbisa.

Wann memukau peminatnya menerusi empat lagu yang pernah berada di carta atas sekali gus meneruskan kelangsungan dalam dunia seni. Antara lagu didendangkan termasuk Aku Bagai Teka-Teki, Bossanova, Joget Siapa Dia dan Lamunan Hati.

Ternyata, suaranya yang unik dan tersendiri itu kekal dan tidak berubah. Mungkin vokal meneran itulah yang membuatkan nama Wann terus terpahat dalam ingatan peminat tegarnya.

Dengan bakatnya itu, Wann sudah merakamkan lebih 10 album solo bersama syarikat rakaman Suara Cipta Sempurna (SCS) dan Rock Records.

Share to: