Dina cetus kemarahan puak Syiah

Font: [ BB B M S ]

Dunia Dunia 2012-11-04 04:33 Click: 314 Disediakan oleh Berita Harian

Persembahan penarik gelek Mesir dianggap hina Islam

Kaherah: Penari gelek terkenal Mesir, Dina, 47, (gambar) mencetuskan kemarahan di kalangan puak Syiah di Mesir berikutan kemunculannya dalam filem negara itu dengan menyanyikan sebuah lagu memuji anak perempuan Nabi Muhammad, Saidatina Fatimah, isteri Saidina Ali.

Puak Syiah yang diketahui sangat memuliakan Saidatina Fatimah dan Saidina Ali meminta filem terbabit diharamkan.

Jurucakap masyarakat Syiah Mesir, Baha Anwar Mohammed mengecam Dina atau nama sebenarnya Dina Talaat Sayed Muhammad berikutan persembahannya itu.

Beliau menyifatkan persembahan Dina yang pernah mendapat jolokan sebagai ‘penari gelek terakhir Mesir’ di dalam filem Abdp Mouta menghina Islam dan tidak menghormati keluarga Nabi Muhammad.

Fail saman

“Kami akan memfailkan saman terhadap peguam negara dan menuntut filem itu diharamkan kerana penyiarannya, menghina tokoh Islam yang dimuliakan,” katanya yang dipetik akhbar al-Sabah.

Pengikut Syiah percaya bahawa Imam Ali dan seluruh Ahlul Bait adalah pengganti Rasulullah. Baha menggesa cendikiawan Islam Al-Azhar Mesir dan Imam Besar mengutuk perbuatan Dina.

Dina yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang falsafah dari Universiti Ains Shams, di Kaherah, bagaimanapun menafikan persembahannya di dalam filem itu bertujuan menghina tokoh Islam tetapi tidak mengulas lanjut.

Sementara itu pelbagai pihak berpendapat bahawa walaupun lagu ‘Virtuous Mother of Hasan and Husain’ (Ibu mulia Hasan dan Husain) memuji Saiditana Fatimah, hakikat bahawa nyanyian itu diiringi persembahan tarian gelek Dina adalah amat tidak bersesuaian. - Agensi

Share to: