Sebab Umi Kalthum selalu buat umrah

Font: [ BB B M S ]

Hiburan Hip 2013-03-30 08:10 Click: 1580 Disediakan oleh Berita Harian

Ada banyak sebab kenapa heroin filem Melayu klasik, seniwati veteran, Datin Umi Kalthum, 81, kerap mengerjakan umrah hingga berpuluh kali.

Pada 1 April ini, beliau akan mengerjakan umrah lagi bersama anaknya yang juga bekas aktres dan penyanyi, Noor Kumalasari (50-an), dengan mengikuti pakej Andalusia Travel.

Antara sebabnya, selain dipanggil Allah sebagai tetamu-Nya untuk beribadat di Tanah Suci, Datin Umi Kalthum tersangat rindu pada Allah dan Rasul-Nya, juga rindu pada Kaabah serta arwah suaminya, seniman terkenal, Allahyarham Datuk S Roomai Noor (hero filem Melayu klasik). Mereka mempunyai enam anak berusia 40 hingga 63 tahun, 16 cucu dan seorang cicit.

Arwah suaminya meninggal dunia di Hospital King Abdul Aziz, Makkah pada 16 Mac 1996, akibat penyakit paru-paru berair. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Ma’ala, Makkah kira-kira dua kilometer dari Masjidil Haram.

Di perkuburan itu juga terdapat Makam Siti Khadijah RA (isteri pertama Nabi Muhammad SAW) dan makam sahabat Rasulullah.

“Dah nak pergi Makkah lagi ni, saya mimpi arwah suami. Memang saya rindu sangat-sangat pada arwah sebab itulah selalu saya nak pergi ziarah kuburnya. Orang perempuan tak boleh masuk ke tanah perkuburan tapi saya naik ke atas ‘fly over’ (di jalan raya) dan dari situlah saya boleh nampak kubur arwah di bawah sebelah hujung sekali. Kemudian saya hadiahkan Al-Fatihah dan berdoa untuk arwah.

Selalu rindu Makkah

“Bila nak sembahyang pula, saya dah terpandang-pandang Kaabah depan mata. Itu yang buat saya lagi rindu nak pergi Makkah selalu, “ cerita Umi Kalthum kepada Juwie ketika dihubungi 24 Mac lalu.

Allahyarham S Roomai Noor meninggal dunia dalam bulan Syawal. Pada masa itu, mereka suami isteri mengerjakan umrah akhir Ramadan hinggalah sambut Aidilfitri dan puasa sunat enam hari pada Syawal. Mereka pernah mengerjakan haji pada 1976 dan 1982 serta mengerjakan umrah beberapa kali bersama.

Sewaktu sihat dan kakinya kuat untuk berjalan, setiap tahun Umi Kalthum pergi umrah pada akhir Ramadan sendirian. Tapi sejak kakinya sakit-sakit, beliau pergi umrah pada bulan biasa pula. Anaknya, Noor Kumalasari sudah mengerjakan haji bersama suaminya, Wan dan rajin mengerjakan umrah.

Lagu popular Noor, Dari Kamar Sepi masih berputar di radio hingga sekarang. Antara filem popular lakonannya, Esok Masih Ada arahan Tan Sri Dr Jins Shamsuddin.

JUWIE: Bila rindu, selalu Allah jemput ke Tanah Suci. Subhanallah....

Share to: