Johan tilawah kebangsaan bawa pulang PROTON Preve

Font: [ BB B M S ]

Nasional Nasional 2013-06-15 06:54 Click: 76 Disediakan oleh Berita Harian

Kota Bharu: Qari Perak, Anuar Hasin dan Qariah Pahang, Hanimzah Jalaluddin diumumkan johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56 di sini, malam tadi. Mereka menerima sebuah PROTON Preve, wang tunai RM15,000, piala iringan, cenderamata serta sijil penyertaan. Kedua-dua pemenang akan mewakili negara pada Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dari 29 Jun hingga 6 Julai ini. Anuar yang juga Johan Akademi al-Quran musim kedua memperoleh markah 92.33 peratus manakala Hanimzah memperoleh 88.34 peratus. Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenaan menyampaikan hadiah kepada pemenang. Naib johan qari, Amirahman Abas, dari Negeri Sembilan mendapat 89.67 peratus dan qariah dari Johor, Nor Azrah Ayub memperoleh 86 peratus. Mereka masing-masing menerima wang tunai RM10,000 berserta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan. Tempat ketiga disandang qari dari Terengganu, Mohamad Hafas Ali mendapat 86.67 peratus dan qariah dari Kedah, Marzian Mohd Deli memperoleh 84.34 peratus. Mereka menerima menerima wang tunai RM7,000, cenderamata serta sijil penyertaan. Perak diisytihar johan keseluruhan dengan markah 87.17 peratus. Yang turut hadir, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Tengku Muhammad Faiz Petra; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha. Seramai 14 qari dan 15 qariah daripada seluruh negara mengambil bahagian dengan Kelantan menghantar qariah selepas 23 tahun tidak membenarkan wanita menyertai tilawah berkenaan.

Share to: