Asia Barat ‘lebur’ jika AS serang Syria

Font: [ BB B M S ]

Dunia Dunia 2013-08-26 04:45 Click: 351 Disediakan oleh Berita Harian

Damsyik: Kerajaan Syria menuduh pemberontak menggunakan senjata kimia kelmarin dan memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) supaya tidak menyerang Damsyik sambil menegaskan tindakan itu akan menyemarakkan keganasan di Asia Barat. Tuduhan rejim Presiden Bashar al-Assad terhadap pembangkang dibuat ketika kumpulan bantuan antarabangsa berkata, pihaknya mengesahkan 355 kematian setakat ini akibat serangan senjata kimia Rabu lalu di Ghouta, pinggir Damsyik. Berjiran dengan Israel Syria mempunyai kaitan dengan Iran, gerila Hizbullah dan pergerakan pejuang Palestin. Negara itu juga bersempadan dengan musuh lama dan sekutu kuat AS, Israel. Tidak dapat dipastikan bagaimana kesan yang akan dihadapi negara itu jika Amerika Syarikat meneruskan tindakannya Keganasan di Syria kini merebak ke Lubnan, Turki, Iraq dan Bukit Golan yang ditawan Israel. Anggota Hizbullah menyertai peperangan dengan menyebelahi tentera Assad. Sementara itu, unit tentera laut AS semakin menghampiri Syria ketika Presiden Barack Obama mempertimbangkan tindak balas tentera terhadap dakwaan penggunaan senjata kimia oleh kerajaan Assad. Pegawai pertahanan Amerika memberitahu The Associated Press, tentera laut menghantar kapal perang keempat dilengkapi peluru berpandu balistik ke Laut Mediterranean tetapi tanpa arahan lanjut mengenai pelancaran sebarang peluru berpandu ke Syria. Obama menegaskan campur tangan segera dalam perang saudara di Syria akan menjadi satu masalah, kerana pertimbangan antarabangsa perlu mendahului serangan tentera. Selepas Obama mengadakan pertemuan dengan pasukan keselamatan dalam negara kelmarin, Rumah Putih berkata, pegawai perisik AS masih cuba memastikan sama ada kerajaan Assad menggunakan senjata kimia dalam serangan awal minggu ini. AS sedia bertindak Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel, berkata tentera Amerika bersedia mengambil tindakan ke atas kerajaan Syria jika mendapat arahan tetapi menegaskan, Washington masih membuat penelitian lanjut mengenai dakwaan serangan senjata kimia di negara itu. “Obama sudah meminta Jabatan Pertahanan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan kami sudah melakukannya. Kami juga bersedia melaksanakan sebarang pilihan,” katanya. AP

Share to: